Urusan Tatatertib

Rayuan Tatatertib

Bilakah pegawai boleh mengemukakan rayuan tindakan tatatertib?
Mengikut Peraturan 15(1), P.U.(A) 396/1993, rayuan tindakan tatatertib hendaklah dikemukakan secara bertulis kepada Lembaga Rayuan Tatatertib Perkhidmatan Awam di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam melalui Ketua Jabatan dalam tempoh 14 hari dari tarikh pegawai menerima keputusan tindakan tatatertib.
Perlukah rayuan tindakan tatatertib dikemukakan melalui Ketua Jabatan?
Ya, mengikut Peraturan 15(1), P.U.(A) 396/1993.
Apakah keputusan yang boleh dibuat oleh Lembaga Rayuan Tatatertib Perkhidmatan Awam?

Berdasarkan Peraturan 16(4), P.U.(A) 396/1993 Lembaga Rayuan Tatatertib Perkhidmatan Awam boleh-

  1. menghantar balik kes itu kepada Lembaga Tatatertib untuk ditimbang semula;
  2. mengesahkan keputusan Lembaga Tatatertib;
  3. mengesahkan keputusan Lembaga Tatatertib tentang salah laku perayu itu tetapi mengubah hukuman itu kepada hukuman yang lebih ringan; atau
  4. mengakaskan keputusan dan hukuman Lembaga Tatatertib dan membebaskan perayu.

Tindakan Tatatertib

Adakah tindakan tatatertib dengan tujuan buang kerja atau turun pangkat boleh diambil ke atas pegawai yang telah bersara atas kesalahan yang dilakukan semasa dalam perkhidmatan?

Tidak boleh.

Melainkan surat pertuduhan telah dihadapkan kepada pegawai sebelum tarikh kuat kuasa persaraan itu, maka tempoh perkhidmatan pegawai itu disifatkan sebagai telah dilanjutkan sehingga tindakan tatatertib itu diputuskan.

Apakah tindakan yang boleh diambil terhadap pegawai dalam percubaan yang melakukan kesalahan tatatertib?
Selain daripada tindakan tatatertib, pegawai juga boleh ditamatkan perkhidmatan semasa dalam tempoh percubaan mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2012 [P.U. (A) 1/2012].

Tidak Hadir Bertugas

Apakah tindakan tatatertib kerana tidak hadir bertugas boleh diambil ke atas seseorang pegawai yang telah ditangkap/ditahan oleh pihak polis atau SPRM kerana disyaki melakukan jenayah?

Tidak boleh.

Walau bagaimanapun sekiranya pegawai masih tidak hadir selepas dibebaskan sama ada dengan ikat jamin dan sebagainya, maka tindakan tatatertib boleh dikenakan bagi ketidakhadiran selepas pegawai dibebaskan.

Berapakah tempoh yang boleh dianggap tidak hadir bertugas?

Peraturan 23, P.U.(A) 395/1993 menjelaskan tidak hadir termasuklah tidak hadir bagi apa-apa jua tempoh masa dan tempat pegawai itu dikehendaki hadir bagi pelaksanaan tugas-tugasnya.

Apakah yang perlu dilakukan sekiranya pegawai kembali bertugas dalam tempoh penyiaran notis?
Peraturan 26(5), P.U.(A) 395/1993, menjelaskan jika pegawai kembali bertugas ke pejabat dalam masa 7 hari dari tarikh penyiaran notis, Ketua Jabatan hendaklah melaporkan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib yang berkenaan supaya prosiding tindakan tatatertib biasa dikenakan terhadap pegawai.

Penyalahgunaan Dadah

Bolehkah tindakan tatatertib diambil terhadap pegawai yang diketahui menagih dadah?
Boleh. Tindakan tatatertib ini diambil di bawah Peraturan 7 P.U.(A) 395/1993 setelah Pegawai Perubatan Kerajaan memperakukan pegawai ialah seorang penagih dadah atau menggunakan atau mengambil selain bagi maksud perubatan, suatu dadah berbahaya atau menyalahgunakan suatu dadah berbahaya yang disenaraikan dalam Jadual Pertama kepada Akta Dadah Berbahaya 1952.
Bolehkah pegawai yang diperakukan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan mengambil/menyalahgunakan dadah dikenakan tindakan tatatertib sehingga buang kerja?
Boleh. Jenis tindakan tatatertib adalah bergantung kepada keputusan penentuan jenis kesalahan tatatertib oleh Pengerusi Lembaga Tatatertib.

Rayuan Kenaikan Pangkat

Bilakah pegawai boleh mengemukakan rayuan kenaikan pangkat/pemangkuan?
Sesuatu rayuan kenaikan pangkat/pemangkuan hendaklah dikemukakan melalui Pengerusi Lembaga yang berkenaan dalam masa 30 hari daripada tarikh pegawai menerima keputusan Lembaga itu.
© Hakcipta Terpelihara Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Pahang.
Portal ini sesuai dipapar menggunakan pelayar web Microsoft Edge & Google Chrome versi terkini.
Kemaskini Terakhir : 09 Sep 2024. Jumlah Pelawat : 355313
Kembali ke Atas
Malaysia 94.4% Malaysia
Unknown 2.6% Unknown
United States of America 2.6% United States of America

Jumlah:

21

Countries
355313
Jumlah: 355,313